Kecekalan Minda

Motivasi bukanlah sesuatu yang boleh diajar secara langsung. Motivasi adalah emosi yang terhasil. Kita tidak boleh motivasikan orang lain hanya kerana kita sendiri ada motivasi. Elemen yang menimbulkan motivasi itu tidak sama untuk setiap individu.

Oleh yang demikan, walau ada trainer yang turut menjalankan program motivasi, bukan semua trainer itu “pakar motivasi”.

Malah, tidak semua pakar motivasi itu sentiasa positif pun. Tetapi bagi seorang trainer, tidak kira apa “subject matter”, perlu ada kecekalan minda (mental toughness) dalam menempuhi cabaran dunia latihan.

Cabaran dunia latihan ada pelbagai. Bukan sahaja berkaitan penerimaan peserta, malah bisnes latihan itu sendiri ada kalanya menekan emosi dan mengakibatkan stres. Jadi, kecekalan minda itu perlu. Lebih-lebih lagi pada waktu pandemik ini.

Salah satu komponen kecekalan minda yang dimaksudkan di sini ialah keupayaan menjadi “kalis negatif”.

Kenapa perlu kalis negatif?

Salah satu sebab utama ialah,  kerana kejayaan latihan sebenarnya bergantung kepada peserta itu sendiri – kalau mereka tidak berubah, hasil yang mereka peroleh akan tetap sama. Tetapi kerapnya, kejayaan latihan diletakkan sebagai tanggungjawab tunggal trainer. Apabila dikatakan punca peserta gagal adalah kerana trainer, maka trainer tadi perlu kalis terhadap rasa negatif dirinya – jangan melenting, cuba respon secara rasional, dan cari jalan penambahbaikan pada masa akan datang.

Kalis negatif bukan bermaksud menggalakkan sikap “lepas tangan” pada output latihan. Ya, rasa tanggungjawab itu wajib ada, tapi ia perlu selari dengan ilmu “circle of control” – fokus kepada tindakan-tindakan yang kita mampu kawal.

Selain itu, kalis negatif juga bermaksud memahami bahawa dunia ini tidak “sentiasa ideal” – jangan terlalu berharap bahawa semua orang perlu jadi positif atau semua orang perlu menyokong perkara yang kita rasakan baik untuknya. Hakikatnya, tidak semua orang akan sependapat dengan kita. Kita tidak boleh nafikan kewujudan “negatif” kerana kita suka semua yang “positif” – setiap sesuatu ada pasangannya, ini realiti yang perlu kita terima.

Akhir sekali, kalis negatif juga bererti keterbukaan kita untuk mendengar pendapat orang lain tanpa rasa perlu berhujah. Ia bukan “agree to disagree” tetapi lebih kepada “seek to understand before being understood”. Empati. Jika perlu, elakkan risiko konfrantasi. Konfrantasi hanya menghabiskan “energy” – lebih baik ia digunakan untuk hal-hal lain.

Bolehkah kecekalan minda ini dilatih?

InsyaAllah boleh.

Arwah atok saya pernah berpesan, “Belajar hidup susah, sebab hidup senang itu tak perlu diajar pun, semua orang pandai.”

Saya mengambil keputusan untuk melatih kecekalan minda saya secara sedar (consciously) sekitar tahun 2018. Salah satu latihan yang saya jalani ialah dengan menyertai acara larian marathon.

Walaupun saya bukan seorang yang aktif bersukan sejak kecil, dan tahap larian saya di bawah kelajuan putara, saya cuba untuk mendorong diri agar tidak cepat terima “limitation” diri sendiri. Saya akan sentiasa pujuk diri untuk “cuba lagi sikit” agar dapat atasi had keupayaan diri (self-perceived limit). 

Melalui latihan (dan eksperimen) ini, saya dapati ada beberapa peringkat kecekalan minda.

  1. Tahan (Endure) Keupayaan untuk memiliki kekuatan bagi tidak mudah lentur dengan cabaran yang dihadapi. 
  2. Terima (Tolerance) Keupayaan untuk bersedia menghadapi cabaran dan mencari jalan bagi mengatasinya. 
  3. Teruskan (Resilience) Keupayaan untuk menjangkakan cabaran yang bakal dihadapi serta memahami risiko yang terlibat, lalu memilih strategi yang terbaik bagi meneruskan usaha sehingga mencapai matlamat. 

Berdasarkan peringkat-peringkat ini, dapatlah kita jadikannya asas untuk melihat tahap kecekalan minda diri kira sendiri dalam satu-satu aspek. Dengan mengetahui di mana tahap kita sekarang (point A) dan ke tahap mana kita mahu capai (point B), insyaAllah kita boleh latih diri secara sedar agar dapat sampai ke tahap seterusnya.

Selamat mencuba!

#theIdeaSensei  

Leave a Reply

Your email address will not be published.